Saturday, February 7, 2009

Perbezaan antara puak rasional dan tidak rasional

Dibawah adalah petikan dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 7 Feb 2009 berkenaan "tragedi malang politik Malaysia" yang berlaku di sebuah negeri bernama Perak. Tujuan saya siarkan artikel ini sebenarnya bukan untuk menyebelahi mana2 pihak atau untuk menegak kebenaran (hanya Allah S.W.T berhak secara total tentukan kebenaran, manusia hanya lebih berhak memilih - kebenaran atau kepalsuan?). Tetapi tujuan saya adalah untuk kita fikirkan bagaimana satu puak yang menggelarkan diri mereka pejuang Islam "tulen" telah hilang pertimbangan diri dan bertindak biadap. Telah hilangkah segala ajaran Islam yang dipelajari? rasional kah puak mereka ini? Pertanyaan itu sebenarnya berpandukan kepada banyak lagi kejadian atau kenyataan politik oleh berbagai puak ketika "tragedi" ini sedang berlaku (akan saya siarkan dilain kali). Pelik, tetapi benar, manusia tetap manusia walaubagaimana pun taraf ilmu dan akal mereka, tetapi tetap tewas pada "nafsu". Hilang pertimbangan, hilang pedoman.

Walau apapun ketika ini di Malaysia atau dimana jua tempat di dunia ini, kemenangan sentiasa atau tetap berpihak kepada golongan politik dan rakyat sentiasa atau tetap tewas, tidak kira disebelah pihak mana sekali pun.

Maka fikirlah secara rasional menggunakan akal fikiran kurniaan Allah S.W.T.


Sultan Azlan amat murka - Sumber Istana

Oleh ZULKIFLI JALIL utusanputrajaya@utusan.com.my (7 Feb 2009)

''BIARKAN kalau dia nak duduk di rumah Menteri Besar itu, jangan halau, jangan hambat. Biarkan juga Unit Amal (Pas) berbaju merah dan berseluar hitam mereka jaga pagar sampai dini hari.
''Tengoklah sampai bila mereka mampu bertahan di dalam tu, bila (Datuk Seri Ir. Mohammad) Nizar (Jamaluddin) buka TV (televisyen) nanti, apa yang akan ditontonnya saban hari ialah Menteri Besar baru (Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir) rasmi majlis ni, pecah tanah itu. Tapi jangan halau mereka."
Begitu perbualan seorang ahli UMNO Perak dengan Zambry yang sempat 'dirakam' Utusan Malaysia petang semalam. Zambry tersenyum kecil.
Sehingga berita ini ditulis, Mohammad Nizar dan penyokongnya tetap enggan berganjak meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Sultan Idris Shah.
Di kediaman Menteri Besar itu, sekelilingnya terus dipenuhi penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Penyokong DAP pula, kelibatnya juga di situ.
Memang sukar hendak terima hakikat tetapi ingatkah mereka pada Mac tahun lepas sewaktu BN negeri tumbang di tangan mereka.
Ingatkah! Waktu itu ahli-ahli BN terutama UMNO menatap wajah mereka pun takut. Bukan apa, keangkuhan sudah memuncak dalam diri.
Sebaik sahaja pakatan pembangkang diisytiharkan menang tempoh hari, penyokong mereka berderu-deru memasuki kediaman Menteri Besar dan Bangunan Perak Darul Ridzuan - pejabat Menteri Besar.
Semasa itu laungan nyaring yang kedengaran - ''itu rumah kita, itu pejabat kita". Ternyata semuanya berakhir.
Petang semalam, kerana degilnya penyokong Pakatan Rakyat, mereka terus membuat kacau terutama di jalan menghala ke Istana Iskandariah - untuk mengganggu majlis angkat sumpah Zambry sebagai Menteri Besar ke-11.
''Kereta Raja Muda dan Raja Di Hilir dilemparkan batu sebesar penumbuk. Begitu juga dengan kenderaan yang dinaiki Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi," cerita seorang rakan media.
Kekecohan semalam bermula apabila penyokong Pakatan Rakyat mula membanjiri satu bulatan di Kuala Kangsar sebelum berkumpul beramai-ramai menuju ke Masjid Ubaidiah bersebelahan Istana untuk solat Jumaat. Selepas solat, mereka bergerak beramai-ramai untuk memasuki pekarangan Istana.
Pasukan anggota Polis Persekutuan (FRU) terpaksa berundur sejauh 50 meter dan selepas arahan bersurai tidak diendahkan serta diasak, gas pemedih mata terpaksa dilepas.
Namun ia tetap tidak menyuraikan mereka sehingga ada yang sanggup baring dan duduk di atas jalan raya.
Rakan penulis, Zaini Raban memberitahu, suasana berdekatan Istana Iskandariah semalam cukup membimbangkan. ''Kalau tiada pasukan FRU, tak tahulah apa akan jadi. Kereta saya pun hampir dibaling batu malah saya diugut supaya buka cermin kereta untuk mereka melemparkan kata-kata kesat," katanya.
Sesungguhnya apa yang berlaku di Perak adalah ketentuan-Nya. Yang perlu dilakukan oleh Mohammad Nizar sekarang adalah akur dengan titah Sultan.
Sumber Istana memberitahu Utusan Malaysia semalam, Sultan Azlan Shah amat murka dengan perbuatan bekas Menteri Besar itu yang mencabar dan mempersoalkan imej dan maruah baginda.
''Mohammad Nizar kena akur dengan kedudukan pakatan rakyat yang hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Kalau ini berlaku kepada BN pun, kita percaya dan pasti BN sama sekali tidak akan mempertikaikan kuasa Sultan sebagai raja pemerintah yang membuat tafsiran dari segi perlembagaan terhadap kedudukan seseorang Menteri Besar," kata Zambry semalam

No comments: