Calon Presiden AS yang juga bekas ahli Kongres AS, Cynthia McKinney memberitahu, tidak ada Presiden AS yang akan mengubah polisi luar negara terhadap Israel dan konflik Palestin-Israel.
''Perubahan yang dijanjikan oleh Obama hanyalah satu penipuan kerana tidak ada sebarang perubahan polisi yang akan dilakukan terhadap perkara tersebut.
''Pengundi-pengundi AS yang memilih Obama sebenarnya telah terpedaya dengan janji perubahan yang dibawa oleh Presiden AS itu kerana negara tersebut sentiasa dahagakan peperangan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Mencabar Sekatan Israel pada pada Forum Mengenai Palestin anjuran Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang (KLFCW) dengan sokongan Kumpulan Utusan dan Berjaya.
McKinney mendedahkan, setiap Presiden AS telah berjanji akan mempertahankan kewujudan Israel dan akan memastikan rejim Zionis itu terus berkuasa serta akan membenarkan ia melakukan apa sahaja terhadap rakyat Palestin.
Beliau memberitahu, ahli-ahli kongres AS juga telah menandatangani perjanjian untuk mempertahankan kewujudan Israel dan membenarkan rejim Zionis itu melakukan apa sahaja bagi merampas tanah rakyat Palestin.
''Kesemua 535 ahli Kongres itu telah menandatangani surat perjanjian itu dan mana-mana yang tidak menandatangani surat tersebut akan dipastikan kalah pada pemilihan Kongres.
''Itu yang berlaku pada saya yang tidak mahu menandatangani surat perjanjian itu dipastikan kalah dalam pemilihan Kongres dan dalam kes saya segala usaha dipastikan kalah pada pemilihan Kongres pada tahun 2006,'' katanya.
Sementara Profesor Michel Chossudovsky dari Universiti Ottawa yang membentangkan kertas kerja bertajuk Agenda Tersembunyi di Sebalik Penghapusan Bangsa di Gaza memberitahu, agenda utama Israel dalam melakukan serangan dan mengebom Genting Gaza adalah untuk merampas keseluruhan tanah Palestin.
Katanya, agenda ini telah digariskan oleh rejim Zionis sejak dulu dan satu cara untuk mencapai perkara ini adalah dengan penghapusan bangsa Palestin.
''Kalau dilihat serangan di Genting Gaza ditumpukan kepada kanak-kanak, wanita, lelaki, orang tua dan setiap lapisan rakyat Palestin.
''Tujuannya bagi memudahkan rejim Zionis mengambil alih tanah Palestin tanpa tentangan dan membolehkan keseluruhannya dijadikan negara Israel,'' katanya.Beliau mendedahkan, perkara ini telah dirancang sejak 2001 dan telah diluluskan oleh Kabinet Israel.

No comments:
Post a Comment