Saya amat tertarik dengan satu artikel dalam Soal Jawab Agama bersama Dr Amran Kasimin di dalam Mingguan Malaysia, hari Ahad 25 Februari 2007. Dalam ruangan tersebut Dr Amran Kasimin menjawab satu soalan dari seorang wanita berkaitan dirinya yang merindui nikmat dunia “songsang” (ertinya suka pada keseronokan yang melampaui batas seorang muslimah) setelah berkahwin dengan seorang lelaki budiman. Saya tidaklah terlalu tertarik dengan soalan “saudari” tersebut tetapi tertarik pada jawapan yang diberikan oleh Dr Amran Kasimin. Begini sebahagian dari jawapan dari Dr Amran Kasimin kepada soalan tersebut.
“Allah s.w.t menjadikan manusia itu sering rasa resah gelisah. Apabila berhadapan dengan masalah, biarpun sedikit, ia akan rasa resah gelisah dan apabila mendapat kesenangan, mendapat pangkat, naik gaji dan sebagainya, mereka sering menjadi angkuh, pelokek biarpun mempunyai banyak harta dan wang. Selain daripada itu Allah menjadikan manusia itu bersifat tamak. Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah emas,mereka mahukan tiga, begitulah seterusnya. Mereka mahukan sebanyak boleh. Sifat tamak atau naluri haloba manusia itu tidak berkesudahan kecuali apabila nyawa berpisah dari jasad.”
Saya bersetuju dengan jawapan itu dan pada pandangan saya, sesiapa tiada sifat sedemikan, mereka bukanlah manusia yang “asli”. Sifat inilah yang memimpin manusia dalam kehidupan di muka bumi ini. Maka kita seharusnya berwaspada sentiasa. Ada keputusan yang kita buat tanpa disedari dipengaruhi oleh sifat ini. Seterusnya Dr Amran Kasimin menjawab
“Semuanya itu berlaku dihadapan mata kita. Terdapat manusia yang diberi amanah untuk memelihara kepentingan orang islam, menggelapkan wang, tanpa segan silu atau rasa belas”
Saya mahu menambah sedikit disini, bukan setakat terdapat orang yang menggelapkan wang malah ada juga sebahagian darinya “merompak” wang berlebihan, contohnya satu syarikat konsesi lebuhraya yang tiba-tiba mewujudkan “kompleks pungutan tol” di atas jalan sepanjang lebih kurang 1km yang telah 10 tahun digunakan oleh rakyat. (kes tol Sungai Nyior di Seberang Jaya). Malah ada syarikat konsesi di lembah kelang yang menaikkan tarif tol secara berkala walaupun mereka sebenarnya sentiasa membuat keuntungan tahun demi tahun kerana pertambahan kenderaan. Pada pendapat mereka perlu dinaikkan atas dasar perjanjian yang telah di buat. Wow, memang menguntungkan.
Dr Amran Kasimin seterusnya menulis
“Walaupun demikian, pemikiran mereka tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat, padahal mereka terdiri daripada orang yang telah dewasa, lebih daripada setengah abad, tetapi tetap melakukan kemungkaran yang melibatkan wang berjuta-juta, padahal keperluan fizikal mereka, untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya tidak memerlukan wang berjuta-juta ringgit. Hal demikian akan terus menerus berlaku kerana manusia itu mempunyai sifat tamak haloba”.
Pada saya, kerana tamak haloba lah manusia tidak pernah jemu membuat apa jua perubahan, menyambar apa saja peluang dan segalanya dilakukan tanpa mengambil kira kesannya kepada diri sendiri dan orang lain. Sifat tu sebenarnya ada pada semua peringkat manusia termasuk kanak-kanak. Cuma yang membezakannya adalah cara perbuatan dan akibatnya.
Dr Amran Kasimin seterusnya berkata
“Allah menjelaskan bahawa nafsu manusia itu lebih berkecendurungan melakukan kejahatan daripada kecendurungan melakukan kebaikan”.
Memang jelas bahawa “tamak haloba” adalah perkataan yang tidak baik dan bersifat negatif, maka mana mungkin ia lebih cenderung kepada melakukan kebaikan kepada orang lain melainkan ia melakukan “keburukan” pada dirinya sendiri dan sekutunya. Mungkin juga sifat tamak haloba ada kalanya memberi kita satu kebaikan dan kelebihan dalam sesetengah hal. Tapi saya tidak mahu bincangkan sekarang, mungkin dilain kali. Saya juga tidak mahu menyambung jawapan Dr Amran Kasimin. Kalau mahu jawapan penuh, beli Mingguan Malaysia, cuma RM2. Anda boleh mencuba dapatkannya dari laman web Utusan tetapi saya kira anda mungkin bernasib baik jika berjaya kerana laman web mereka sukar di akses sekarang (sentiasa gagal), mungkin strategi Utusan supaya orang ramai membelinya daripada membaca berita secara percuma yang sudah tentu merugikan mereka. Entahlah, saya tidak pasti….
Sunday, February 25, 2007
Subscribe to:
Comments (Atom)
